Wednesday, 10 September 2014

Presiden PAS Putuskan, PKR Dan DAP Tidak Perlu Lagi Diajak Berunding – Nik Abduh

NIk Abduh Nik Aziz
Oleh: Nik Mohamad Abduh Nik Aziz

Ikuti pandangan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung isu ini.

Siapa Pengkhianat?
Presiden PAS dituduh khianati Pakatan Rakyat (PR) kerana namakan calon Menteri Besar (MB) daripada PAS.
Mari amati kisah pengkhianatan. Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada 2 gerangan yang saling berkerja sama;
1) 2 pengkhianat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman PAS.
2) Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam PR apabila menerima pengkhianatan 2 ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.
Sebagaimana 2 ADUN itu memutuskan wala’ dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan PAS.

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh presiden PAS apabila;
1) Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.
Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam PAS sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan 2 ADUN ini.
2) Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.
Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR- pergolakan dalam PR akibat PAS kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) yang Majlis Syura Ulama PAS (MSU) putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan presiden?
Ada 2 pilihan;
1) Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti PAS ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan Tahaluf Siyasi.
2) Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman PAS dan hubungan dengan PKR dan PR.

Presiden telah memilih pilihan kedua.
Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila PAS melalui mesyuarat 17/8/14, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan 2 nama calon MB baru, termasuk Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (WAWI) yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal MSU.
Lihat, alangkah berjiwa besarnya presiden. Beliau mampu mempengaruhi MSU agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!
Keputusan ‘emas’ itu hanya mampu bertahan 5 jam!
Petangnya, tanpa kehadiran presiden PAS, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu WAWI. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula PAS dilabel sebagai parti U-Turn oleh BN.
Presiden kini berhadapan 2 kemelut yang tiba-tiba;
1) Kegagalan wakil PAS ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat PAS. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali RUH keputusan mesyuarat PAS yang telah menetapkan 2 nama.
Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.
2) Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan WAWI. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.
Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi PAS yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.
Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar 5 jam?
Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua MSU. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.
Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu akaun bersumpah (SD) timbul.
13 ADUN PAS diasak oleh PKR agar menanda tangani SD menyokong WAWI sebagai Menteri Besar baru. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar PAS.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!
Mesyuarat PAS pada 25/8/14 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. PAS memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.
Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.
Daripada pelabelan awal oleh BN, rakan PR mula turut menamakan PAS sebagai parti U-Turn!

PAS mula dipermainkan rakan-rakannya sendiri.
Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih 2 nama, PR terus gagal untuk bersatu.
Malah, kemelut dipanaskan dengan isu presiden PAS mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;
1) Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada presiden PAS? Tidak bukan?
2) Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan PAS? Tidak bukan?
3) Adakah tindakan budiman presiden PAS berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin PAS yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan 2 ADUN itu? Tidak bukan?
4) Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?
5) Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?
Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

Mari melihat kesimpulan saya..
Hari ini, anda melihat apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa PAS atau presiden PAS telah sampai ke tahap toleransi tertinggi. Selepasnya, jika tidak disambut baik, maka toleransi berakhir dan presiden PAS akan mula bertindak..
Saksikan..
Presiden putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more
Presiden putuskan untuk menangani isu dalaman PAS dengan caranya sendiri.. juga, no more
Akhir daripada saya, jika semalam anda melihat intimnya hubungan beberapa pemimpin PAS dengan rakan PKR dan DAP untuk mematikan langkah presiden sendiri, hari ini pula anda sedang melihat para ulama dan pencinta kepimpinan ulama sedang bersahutan dan bertautan menyokong tindakan baru presiden PAS.
Dan anda telah pun tahu apa sikap saya dan di mana saya. Saya enggan mengelirukan..
Selamat bertarung di ‘KuborMove’.. Jumpa di sana.

Tuesday, 9 September 2014

Tuan Ibrahim Pengarah Induk PRK Pengkalan Kubor

ASLANI M | .
TUMPAT: Jentera operasi PAS pilihan raya Dun Pengkalan Kubor diketuai bekas Speaker Dun Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor.

Setiausaha Operasi PAS Pilihan Raya Dun Pengkalan Kubor, Jamaluddin Ishak berkata, pelantikan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, Timbalan Pengarah Operasi pilihan raya terbabit iaitu Dr Wan Nik Wan Yussof, Mohd Nasir Daud, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Mohd Zaki Ibrahim.

“Gerak kerja operasi pilihan raya PAS di Pengkalan Kubor bermula pada 12 September lalu selepas dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu,” katanya di sini.

Operasi jentera tersebut berpusat di Markas Besar PAS Dun Pengkalan Kubor di Kampung Tebing. Bangunan dua tingkat itu turut menempatkan ruang sidang media dan Unit IT dan Media PAS.

Jamaluddin juga berkata, pasukan petugas daripada PAS kawasan-kawasan lain di Kelantan memulakan gerak kerja bermula semalam sehingga hari pembuangan undi 25 September ini.

Manakala jentera PAS kawasan-kawasan lain dari luar Kelantan akan mulai berkampung pada Khamis ini.

Dun Pengkalan Kubor mempunyai 12 unit peti undi (UPU). UPU Pengkalan Kubor menempatkan petugas PAS dari Pengkalan Chepa dan Wilayah Persekutuan.

UPU Ketil – Pasir Mas, Melaka dan Sarawak, UPU Tebing – Pasir Puteh dan Selangor, UPU Geting – Kota Bharu, Machang dan Pahang.

UPU Simpangan – Tanah Merah dan Johor, UPU Tujuh – Ketereh dan Terengganu, UPU Jubakar Darat – Tumpat dan Perak, UPU Bunohan – Kubang Kerian dan Negeri Sembilan.

UPU Teluk Jering – Rantau Panjang dan Sabah, UPU Telaga Bata – Jeli, UPU Bendang Pak Yong – Kuala Krai, Bachok dan Perlis manakala UPU Kedai Geting - Gua Musang dan Kedah. - HARAKAHDAILY 9/9/2014 

Monday, 8 September 2014

Calon MB: Hanya PAS akur titah, kata Istana


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Istana Selangor hari ini menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan satu nama berhubung calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai 'engkar' kepada arahan Sultan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua pati itu yang menghantar hanya satu nama sama menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan perbuatan derhaka kepada baginda.

"DYMM Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti-parti DAP dan Keadilan yang engakar terhadap baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan parti Keadilan ini menggambarkan kebiadapan kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah DYMM Sultan Selangor," katanya.

Namun demikian, katanya hanya parti PAS yang akur dengan titath DYMM Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor.

PAS sebelum ini mengemukakan tiga nama iaitu masing-masing dua Adun PKR dan seorang Adun PAS.

PKR dan DAP pula mengemukakan nama tunggal iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Teliti nama lain

Kenyataan itu juga menyebut, dengan penerimaan senarai calon itu, baginda akan menelitinya dan akan mengambil kira segala aspek di dalam menilai setiap calon sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar  Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor maka baginda akan meneliti nama-nama Adun yang lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri," katanya. - HARAKAHDAILY 8/9/2014

4 Exco PAS benteng Selangor dari tumbang kepada Umno

KUALA LUMPUR: Empat Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada PAS yang kini dalam kerajaan negeri bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat daripada tumbang kepada Umno.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi, berkata pengekalan empat exco PAS itu adalah penting kerana ia adalah selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita tidak ada kerjasama dengan Umno, bahawasanya jika Umno masuk kita akan keluar,” kata Sallehen dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian semasa Ijtimak PAS Selangor yang diadakan Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya Seri Kembangan, petang tadi.

“Walaupun Abdul Khalid kini Adun Bebas namun caranya masih lagi belum menjadi Adun Bebas lagi, malahan mutakhir ini walaupun sudah pemerintahannya hendak berakhir namun masih semangat,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun empat Exco namun perjalanan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tetap terus berjalan dengan program dirancang berjalan baik.

ACduk CSabak itu menambah, apa yang berlaku kepada Kerajaan Selangor hanya sedikit kocakan berbanding dengan pengalaman PAS sebelum ini yang pernah kehilangan kerajaan.

“Atas pengalaman pemimpin lalu yang pernah menempuh perjalanan panjang itu, maka Presiden kita dan rakan-rakan lain bertenang dalam situasi dan tidak terus membuat kenyataan untuk kita tidak beri kerjasama kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata pendukung Pakatan Rakyat perlu mengikut kaedah Fiqh yang mendapat kemenangan dan pertolongan daripada Allah.

“Maka apabila kita diatur oleh jemaah maka kita berada di landasan yang betul untuk mendapat pertolongan daripada Allah,” katanya.
Selain beliau, tiga lagi Adun PAS yang menganggotai exco kerajaan negeri ialah Iskandar A Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali.

Bincang isu PAS di muktamar, bukan laman sosial

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS mahu ahli-ahli parti menggunakan peluang Muktamar Tahunan ke-60 di Batu Pahat bagi membincangkan masalah dalaman parti.

Oleh itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ahli dan penyokong tidak sewajarnya mengeruhkan suasana politik sekarang dengan kenyataan tidak wajar melalui laman-laman sosial.

Kata beliau ahli parti peringkat akar umbi dan pimpinan sewajarnya menerima keputusan pimpinan tertinggi parti demi kebaikan semua pihak.

Katanya, setiap mesyuarat mengikut kaedah Islam diberi kuasa kepada pemimpin tertinggi parti membuat keputusan.

“Zaman Rasulullah s.a.w. baginda mempengerusikan mesyuarat dengan diberi kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Begitu juga dalam kaedah parti kita sekarang, keputusan mesyuarat ditentukan pengerusi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Beliau diminta mengulas isu yang berlaku di Selangor terutamanya cara Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menangani kemelut yang berlaku.

Mursyidul Am berkata, ahli parti diingatkan jangan mengeruhkan suasana kerana ada pihak mengambil kesempatan bagi melumpuh gerakan parti.

Katanya, apabila ahli parti sendiri mengeruhkan suasana ia memberi ruang pihak lawan menangguk di air keruh.

Ditanya penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) diterajui pemimpin-pemimpin PAS, katanya, setiap parti baru yang ditubuhkan akan menemui kegagalan.

“Waktu saya mula-mula sertai parti PAS dulu ada tiga parti iaitu Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu. Yang pegang jawatan tertinggi parti bukan sebarangan orang, tetapi hasilnya macam mana,” soalnya.

Menyentuh peluang Pakatan di Pengkalan Kubor, kata beliau sebelum ini PAS ada rekod kemenangan di Dun terbabit. - HARAKAHDAILY 8/9/2014

Saturday, 6 September 2014

Nak tubuh parti baru, sila - Presiden PAS

HARAKAHDAILY | .
MARANG: Penubuhan parti baru dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen adalah perkara biasa, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Penubuhan parti baru, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh," ujarnya ketika menjawab pertanyaan pada Majlis Dailog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden PAS di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini semalam. (Video)

Selanjutnya Ahli Parlimen Marang itu mempersilakan mereka yang berlainan pendapat di dalam PAS yang mahu menubuhkan parti sendiri.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," ujarnya disambut dengan laungan takbir.

Dalam nada berseloroh, katanya jika ada seekor nyamuk menyebabkan tidak lena tidur.

"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila.
"Saya tak tahu, surat khabar tanya, ni saya tak baca berita ni," jelasnya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.  (Foto bawah oleh Buletin Online) -HARAKAHDAILY 6/9/2014

Orang baru kenal PAS rasa isu Selangor sudah berat

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan mereka yang baru mengenali dan menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku kini sangat teruk.

“Kepada mereka (ahli) yang baru menyertai PAS merasakan gelombang yang berlaku sehari dua ini sangat teruk sehingga ada yang ‘mabuk laut’ dan pening,” ujarnya ketika berucap pada majlis Dailog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden PAS di Dewan Tok Guru, Rusila petang semalam. (Video)

Beliau berkata, apa yang berlaku sehari dua ini adalah sedikit sangat tetapi kepada mereka yang baru hendak belajar politik merasakannya sudah berat.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu lagi, kemelut yang berlaku di Selangor bukan masalah PAS.

"Masalah yang dibuat oleh rakan kita, yang kita terpaksa menolong memikulnya.

“Kita telah membuat keputusan untuk menyerahkan kerajaan negeri Selangor kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Rakan kita dalam Pakatan Rakyat dan telah berjaya memerintah satu penggal, kerajaan yang bersih hingga tidak ada ruang bagi kerajaan pusat untuk menghentam kerana tidak ada kesilapan dan kesalahan,” jelasnya pada majlis yang dianjurkan PAS Negeri Terengganu itu.
Justeru, beliau mengingatkan ahli PAS berwaspada dengan ‘gelombang’ politik yang sedang berlaku dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor agar tidak mengambil tindakan ‘bodoh’ dan merosakkan ‘bahtera PAS’. -HARAKAHDAILY 6/9/2014